Monday, February 15, 2010

Wajarkah hanya salahkan PLUS?

Source Utusan Online : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Wajarkah hanya salahkan PLUS?

SAYA terpanggil untuk memberi ulasan terhadap tulisan saudara Iskandar Johari dan beberapa penulis lain di ruangan ini baru-baru ini yang menyuarakan kekesalan dan marah terhadap PLUS. Mereka menyifatkan PLUS sebagai 'cuci tangan' apabila berlaku kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan.

Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi sebagai seorang peniaga dan pengguna tetap kemudahan lebuh raya PLUS, saya terpanggil untuk memberikan pandangan dari sudut fikiran saya sendiri.

Saya sendiri menggunakan perkhidmatan PLUS ini sejak sekian lama. Tidak dinafikan, lebuh raya ini banyak membantu perniagaan saya serta mengeratkan silatulrahim kekeluargaan kerana perjalanan antara negeri kini begitu mudah dan cepat.

Berbanding dahulu, kalau hendak balik kampung saya terpaksa berfikir panjang mengenangkan jauhnya perjalanan serta risau tentang keselamatan apabila melalui jalan biasa yang sempit dan bahaya.

Pada pandangan saya, kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah lebih berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri. Contohnya, kenderaan kecil seperti Kancil, MyVi dan lain-lain kerap berada di laluan paling kanan. Saya rasa, dengan kuasa cc yang terhad dimiliki oleh kenderaan itu, ia tidak sepatutnya berada di lorong itu, terutamanya selepas memintas kenderaan lain.

Kesannya, berlakulah deretan kereta yang berbaris panjang di belakangnya. Ditambah pula dengan sikap negatif kebanyakan pemandu kenderaan yang tidak mengendahkan peraturan dan gesaan kenderaan di belakang yang ingin memotong. Jadi, terpaksalah kenderaan lain memotong di lorong kiri.

Saya juga selalu melihat bas ekspres dipandu dengan laju melebihi had yang ditetapkan. Jika dihubungi talian 1800 yang tertera di belakangnya, pasti tiada yang menjawab (kempen sahaja ada tapi tiada tindakan). Pemandu bas gemar memandu laju seolah-olah tidak peduli dengan nyawa 30 hingga 40 orang lain yang menumpang bas tersebut. Adakah PLUS atau kerajaan sahaja patut dipersalahkan atas kedegilan pemandu-pemandu yang mementingkan diri sendiri?
Saya juga ingin merujuk kepada beberapa kemalangan yang berlaku sejak kebelakangan ini, terutamanya yang melibatkan lori atau treler yang berhenti di lorong kecemasan. Jika difikirkan secara logiknya, pemandu kereta yang cergas dan segar tentu tidak akan terbabas ke lorong kecemasan sehingga melanggar belakang kenderaan berat yang berhenti di situ. Mungkin juga kereta dipandu terlalu laju hingga pemandu hilang kawalan ke atas kenderaan mereka.

Jika memandu dengan keadaan yang segar dan mematuhi had laju, mustahil pemandu tidak dapat melihat banyak kon yang diletakkan sebagai amaran. Saya bukannya mahu bersetuju dengan tindakan pemandu lori berhenti di lorong kecemasan. Bagi saya, tindakan berhenti di lorong kecemasan amat berbahaya terutama jika laluan tersebut dikongsi bersama dengan pemandu yang tidak cekap, suka memandu laju dan pemandu yang letih dan mengantuk.
Bagi saya, memandu di lebuh raya memang cukup selamat jika kita mematuhi undang-undang jalan raya dan memandu dengan berhemah dan sentiasa peka. Saya sering membaca laporan Ops Sikap dan statistik tersebut jelas menunjukkan kemalangan di jalan biasa adalah jauh lebih banyak berbanding yang berlaku di lebuh raya.

Janganlah jadi 'kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar'. Andaian ini sama seperti kita mempersalahkan guru apabila anak-anak kita gagal dalam peperiksaan, sedangkan anak kita itu sendiri yang malas belajar dan tidak menumpukan perhatian di dalam kelas. Adakah ini adil? Janganlah kita asyik menuding jari pada orang lain atas kelalaian diri sendiri.

Cubalah kita sama-sama muhasabah diri dan jangan mudah menunding jari. Saya dan seluruh rakyat Malaysia amat bersimpati terhadap mangsa-mangsa kemalangan tersebut dan keluarga mereka. Tetapi cubalah juga kaji sikap pemanduan yang mungkin penyebab kepada kemalangan tersebut.

Pada dasarnya, jika kereta tidak di pandu laju, tidak dibawa dalam keadaan mengantuk dan letih, kereta berada di dalam keadaan yang baik, dipandu mengikut peraturan dan had kelajuan yang di tetapkan, saya amat yakin semua ini tidak mungkin berlaku. Malah kita akan bertambah bersyukur di atas kemudahan lebuh raya yang disediakan untuk keselesaan perjalanan kita.
Ingatlah, kalau kesalahan sahaja yang dicari maka kesalahan sahaja lah yang akan kita temui.

HARGAI YANG BAIK
Johor Bahru, Johor

***
To HARGAI YANG BAIK, terima kasih atas perkongsian pendapat anda.. mudah-mudahan lebih ramai lagi pengguna & rakyat yg memahami situasi ini seperti anda.

No comments:

PENGUMUMAN

Entri saya berkaitan makanan/masakan akan di'post'kan di http://www.foodsmania.blogspot.com/.
-dhill-
29 Jan 2009