Pernah terlihat kisah mereka di TV3. Tadi terbaca pulak di Utusan. Memang mengharukan..
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
Kesabaran Yong berbaloi
IMPIAN Yong Azua yang ditulis pada sekeping kertas dan dilekatkan di dinding biliknya di Kuarters JKR, Jerantut, Pahang.
YONG AZUA memeluk ibu kesayangan, Rosni Abdullah. HATI ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dikandungnya selama sembilan bulan 10 hari kini membesar sihat dan berjaya dalam kehidupan. Itulah gambaran awal yang diberi oleh Rosni Abdullah, 43, tatkala bercerita tentang anak keduanya, Yong Azua Mat, 23. Yong merupakan satu-satunya anak Rosni (setakat hari ini) yang berjaya menjejak kaki ke menara gading. Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Melaka yang menyaksikan kecekalan dan kesabaran anak gadisnya menjalani kehidupan kampus yang begitu mencabar bagi orang miskin sepertinya. Namun hari ini, kesemua pengorbanan tersebut berbaloi apabila segala penat lelah dan kepayahan Yong mengharungi kehidupan kampus yang memeritkan berbalas juga akhirnya. Pada hari ini, Yong memulakan hari pertama sebagai eksekutif perakaunan di Touch Matrix Sdn. Bhd., Kuantan, Pahang manakala pada Jun ini pula, Yong akan naik ke pentas untuk menerima segulung Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewangan UiTM. "Insya-Allah, saya akan datang ke majlis konvokesyen Yong. Masa dia (Yong) terima diploma dahulu, saya tak datang sebab tak cukup duit,'' dedah Rosni yang ceria tatkala bercerita tentang anak keduanya itu. Yong ketika diajak berkongsi kisah kemiskinan keluarga pada mulanya agak berat mulut untuk bercerita. "Tak apalah...dah keluar dalam Kosmo!...dalam TV,'' katanya. Namun setelah dipujuk, barulah Yong rancak bercerita. "Sepanjang di kampus, saya tidak pernah bercerita dengan kawan-kawan tentang kehidupan di kampung. Saya malu..., Lebih baik mereka (kawan-kawan) tak tahu. Kalau tahu...banyak pula yang akan menyoal itu dan ini,'' kata Yong. Berikutan kesempitan hidup, Yong lebih banyak menghabiskan masa di bilik asrama untuk mengulang kaji pelajaran dan melayari Internet bagi menambah pengetahuan berkaitan bidang pengajiannya. Apa cerita yang paling tak dapat dilupakan ketika di kampus? "Banyak...tapi paling tak boleh saya lupa adalah ketika saya terpaksa ikat perut untuk menjimatkan belanja. "Di kampus, makan Maggie memang biasa. Tetapi saya terpaksa kerat empat sebungkus Maggie dan makan satu bahagian sahaja. Yang lain simpan untuk hari esok. Kalau lapar, makan biskut kering sahaja,'' ceritanya tanpa berselindung. Begitu juga dalam bab menyediakan yuran pendaftaran sebagai pelajar baru sebanyak RM1,200. "Itu juga sukar dilupakan dan membuatkan saya hampir-hampir putus asa. Mana nak cari duit sebanyak itu, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru nak mohon. Terpaksalah minta ayah sediakan juga dan pinjam daripada kawan-kawan,'' katanya yang terpaksa menebalkan muka untuk meminjam wang tersebut. Berkat kesabaran dan kesungguhan Yong mengikuti pengajian, dia bukan sekadar lulus biasa tetapi muncul sebagai pelajar cemerlang dan pernah dua kali menerima Anugerah Dekan kerana cemerlang dalam peperiksaan semester. "Alhamdulillah, saya sudahpun dapat kerja. Ada empat impian yang akan saya tunaikan iaitu bantu adik-adik belajar, kumpul duit untuk beli rumah ibu dan ayah, beli kereta dan hantar ibu bapa ke tanah suci Mekah. Semua itu, saya buat untuk keluarga. Tentang diri saya, ...nantilah dulu,'' ujarnya mengakhiri perbualan.
More story can be found here:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm
Bubur kanji lauk kepala ikan bilis Oleh SITI ZALEHA JORIMAI "SAYA pernah beri anak makan bubur kanji berlauk garam dan kepala ikan bilis selama tiga hari berturut-turut kerana masa itu tak ada duit untuk beli beras dan lauk. Sedih jangan cakaplah malah beberapa kali air mata menitik dalam periuk. Tapi apa boleh buat itu saja yang saya ada," demikian antara luahan Rosni Abdullah yang masih terngiang-ngiang di telinga penulis. Ibu tunggal 15 anak ini mungkin bukan siapa-siapa bagi sebahagian besar daripada kita, namun baru-baru ini dia telah membuatkan seluruh negara gempar gara-gara tindakan nekadnya membawa anak-anak tinggal di sebuah pondok buruk di dalam hutan. Masakan tidak gempar, ketika negara gah menguar-uarkan kejayaan rakyatnya menerokai angkasa lepas, rupa-rupanya masih ada rakyat yang tinggal di hutan dalam pondok buruk berlantaikan kayu terbuang dan berdindingkan tikar getah buruk gara-gara dihimpit kemiskinan. Entah di mana silapnya, masyarakat setempat mahupun pihak bertanggungjawab termasuk Jawatan Kuasa Kampung (JKK) mahupun wakil rakyat setempat terlepas pandang terhadap kemiskinan tegar ibu tunggal ini yang sudah berpisah dengan suaminya sejak setahun setengah lalu. Bagaimanapun, semua itu cerita dua bulan lalu sebelum kisah hidup Rosni, 42, yang tinggal dalam hutan 'dibau' oleh pihak media. Sejak kisahnya mengisi dada akhbar dan layar kaca televisyen kehidupan wanita ini berubah hampir 360 darjah. Kini kehidupan Rosni dan anak-anak semakin selesa dan terurus mendiami kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 1, Jerantut, Pahang. Apa yang pasti, tubuh mereka tidak lagi 'dimamah' nyamuk dan unggas atau hati sentiasa diburu kebimbangan serangan binatang buas. Tidur malam anak-anak tidak perlu lagi berpelukan menahan sejuk malah mereka juga sudah kembali ke bangku sekolah yang 'kosong' sepanjang dua bulan mereka terpaksa tinggal di hutan. Baru-baru ini, bersama Pengarang Rencana akhbar Kosmo, Rohana Man, kami menjejaki semula keluarga ini bagi mengetahui perkembangan terbaru kehidupan mereka. Biarpun tanpa sebarang temu janji, kedatangan 'mengejut' kami memang langkah kanan kerana kehadiran kami disambut sendiri oleh Rosni bersama dua anaknya yang masih kecil. Anak-anak yang lain masih di sekolah dan tiga orang sudah berkerja. "Alhamdulillah beginilah keadaan kami sekarang. Tidaklah sesenang mana tetapi bertambah baik berbanding ketika hidup di hutan dulu," katanya ramah menyambut kami di muka pintu. Kediaman empat bilik itu nampak selesa dengan set kerusi kayu yang nampak lusuh tapi masih kukuh, selain kelengkapan-kelengkapan lain termasuk peti sejuk, televisyen, kipas, katil dan tilam yang menurut Rosni sebahagian besar disumbangkan oleh pihak UMNO bahagian Jerantut. Sewa bulanan kuarters tersebut sebanyak RM50 juga dibayar oleh sebuah syarikat yang bermurah hati, namun diberitakan ia hanya ditanggung hingga Jun ini. Sekarang ini Rosni menyambung hidup anak beranak dengan saki-baki wang pemberian orang ramai dulu. Beras dan keperluan dapur lain juga masih ada yang berbaki. "Wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 seperti yang dijanji setakat ini belum diterima, jadi saya berjimatlah dengan apa yang ada supaya anak-anak tidak kelaparan," katanya. Sebagai dia juga mula menanam beberapa jenis sayur di tepi rumah yang diharap dapat digunakan untuk keperluan harian. Diminta mengimbas tindakan nekadnya membawa anak-anak berpindah ke hutan kata Rosni, ia dibuat selepas dia menemui jalan buntu apabila diarah keluar dari rumah yang disewa semata-mata gagal membayar tunggakan air sebanyak RM50. Waktu itu puas mencari rumah lain tapi tidak berjumpa kalau ada pun sewanya mahal dan dia tidak mampu. Tidak tahan dengan leteran tuan rumah, dia nekad membina pondok dalam hutan dekat Kampung Sepial Lama, yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan kenderaan dari Tembeling. "Bekas suami yang tolong bina pondok tersebut. Anak-anak pula tolong kutip kayu dan papan-papan buruk untuk dibuat lantai, dindingnya pula saya guna tikar getah terbuang. "Mulanya orang kampung tidak tahu saya berpindah ke situ. Sengaja saya pindah senyap-senyap kerana waktu itu saya betul-betul kecewa dengan keadaan yang melanda hidup kami." Lebih dua bulan menghuni pondok buruk tersebut merupakan tempoh paling menyeksakan dalam hidup Rosni dan anak-anak. "Bekalan elektrik dan air memang tak ada. Untuk mendapatkan air bersih anak-anak terpaksa mengangkut dari loji air di luar yang terletak beberapa kilometer jauhnya," katanya. Disebabkan lokasi pondok tersebut begitu terpencil, Rosni terpaksa berjalan kaki sejauh lapan kilometer untuk ke jalan besar di Kampung Sepial Lama bagi menaiki bas ke pekan Tembeling. Ketika itu, dia berkerja sebagai pencuci pinggan di sebuah gerai dengan upah RM15 sehari. Sepanjang ketiadaannya anak-anak yang besar diberi tanggungjawab menjaga adik-adik yang masih kecil. "Paling menyedihkan apabila mengenang anak-anak yang tidak dapat bersekolah. Jadi apabila ditawarkan rumah di kuarters ini saya rasa bersyukur sangat dan sanggup pindah demi memikir masa depan anak-anak. "Mungkin sudah suratan hidup saya tidak pernah berasa hidup senang sepanjang hidup. Sebab itu saya sangat mengambil berat tentang sekolah anak-anak supaya mereka tidak jadi seperti saya," kata Rosni. Bersekolah hanya setakat darjah satu, Rosni yang berasal dari Felda Sungai Tekam Utara, sudah mula 'pandai' cari duit pada usia 11 tahun dengan mengambil upah berkerja di kebun milik taukeh Cina. "Masa itu keluarga saya pun bukan orang senang. Adik beradik ramai 11 orang jadi mahu tak mahu kena berkerja untuk bantu orang tua. "Pendek kata semua kerja sudah saya lakukan daripada menoreh getah, mengasuh anak hingga kerja kilang," katanya yang berkahwin pada usia 19 tahun. Harapannya selepas berkahwin hidup bertambah baik juga tidak kesampaian apabila suami tidak berkerja tetap sekadar mengambil upah menoreh getah dan kerja kampung. Dua puluh tiga tahun berjuang mempertahankan rumah tangga dalam kepayahan, Rosni akhirnya bercerai kira-kira setahun setengah lalu apabila suami didakwa 'main kayu tiga'. Menampung 15 anak dengan pendapatan sebagai pencuci pinggan memang cukup memeritkan. "Pernah ketika tinggal di pondok dalam hutan disebabkan tak ada duit untuk membeli beras saya beri makan anak bubur kanji berlauk garam dengan kepala ikan bilis selama tiga hari berturut-turut. "Sedih jangan cakaplah sampai beberapa kali air mata jatuh dalam periuk. Tapi apakan daya itu saja yang ada," katanya sambil menyeka air mata yang mula bergenang. Menyedari kehidupan yang susah dan anak bertambah setiap tahun, Rosni mengakui pernah berikhtiar untuk menjarakkan anak dengan mengambil pil perancang ketika masih bersuami dahulu. Malangnya, tubuhnya tidak betah dengan kesan sampingan pil tersebut yang membuatkan perutnya mengeras dan berasa tidak selesa. "Doktor ada juga sarankan cara lain tapi saya takut untuk mencubanya. Apa pun saya reda dengan ketentuan Allah dan tetap bersyukur dengan pemberian-Nya," katanya. Bagi Rosni, biarpun susah, pendidikan tidak diabaikan dan setakat ini empat anaknya berjaya menghabiskan sekolah menengah termasuk anak sulong, Norlaila Mat yang kini mengikuti kursus jururawat dan anak kedua, Yong Azua menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM). "Mereka inilah menjadi harapan saya untuk membantu adik-adiknya sekali gus merubah nasib kami. "Ada juga saudara mara datang menawarkan untuk mengambil anak saya sebagai anak angkat tapi saya tak bagi. Biarlah susah senang bersama saya. "Malah setiap kali solat saya tidak tidak lepas berdoa memohon dipanjangkan usia dan disihatkan tubuh badan demi anak-anak. "Saya tak boleh bayangkan nasib anak-anak kalau saya tak ada. Mengharapkan saudara mara dan adik-beradik lain mereka pun bukan orang senang," katanya sayu. Bukan tidak berhajat untuk bekerja semula namun mengenang dua anaknya yang masih kecil tiada yang menjaga ditangguhkan dulu hasrat tersebut. "Ada juga pihak UMNO Jerantut menawarkan mesin jahit bila mengetahui saya boleh menjahit baju anak-anak. Tapi buat masa ini terpaksa ditolak sebab fikiran saya masih tidak tenteram susah untuk menumpu pada kerja ditambah lagi dengan anak-anak kecil yang suka mengacau," katanya mengakhiri perbualan. Sebelum melangkah pulang, sempat juga kami menitipkan wang sumbangan yang dikumpul oleh rakan-rakan. Semoga nasib keluarga ini akan bertambah baik dan mampu keluar daripada kemelut kemiskinan.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm
Yong Azua sandaran keluarga Hari ini, 20 Mac 2009 mungkin menjadi tarikh cukup bersejarah bagi Yong Azua Mat. Anak kedua Rosni Abdullah ini akan memulakan tugasnya di bahagian kewangan di salah sebuah syarikat swasta di Bandar Kuantan, Pahang. Biarpun masih belum pasti tentang jawatan yang bakal disandang atau gaji yang bakal diterima, sudah terlalu tinggi harapan diletakkan pada bahu gadis bertubuh langsing ini. Dia satu-satunya harapan untuk meleraikan rantai kemiskinan yang melingkari keluarganya sejak sekian lama. Di bahu Yong Azua juga terpikul tanggungjawab untuk membimbing adik-adiknya mencari masa depan yang lebih bercahaya. Kerja yang bakal disandang juga diharap dapat menamatkan episod pilu dalam kehidupan gadis ini. Sememangnya tiada siapa yang tahu bahawa gadis ini banyak menyimpan episod sedih, lebih-lebih lagi dalam perjuangannya menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan Kewangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Segalanya ditelan sendiri dan disimpan kejap jauh di lubuk hati. "Memang saya menyambung pelajaran dalam serba kekurangan. Saya tak kisah ikat perut untuk berjimat kerana yang saya tahu saya mesti lulus. "Bukan tidak pernah sekeping mi segera saya bahagi empat untuk empat kali makan. Hujung minggu apabila kawan-kawan ajak keluar ke bandar saya tolak alasan mahu menelah sedangkan hakikatnya saya memang tidak berduit. "Paling tidak saya lupa ketika kekurangan duit untuk bayar yuran ke peringkat ijazah. Pada hari mendaftar baru saya tahu kena bayar yuran pengajian dan tempat tinggal sekali gus. Duit yang ada cuma cukup-cukup untuk bayar yuran sebanyak RM580, terpaksa tebalkan muka pinjam duit daripada kawan-kawan sebab kalau tidak saya mungkin tidak ada tempat tinggal," katanya. Bagi meringankan beban kewangan Yong Azua biasanya akan bekerja sambilan di kilang atau gerai makan ketika cuti semester. Ketika itu puaslah dia menahan telinga mendengar sindiran masyarakat sekeliling. "Selalunya mereka akan menyindir 'belajar sampai universiti tapi masih kerja kedai makan'. Biasanya saya akan diam saja. Saya anggap mereka tidak tahu kesusahan hidup saya," katanya. Meski diulit kemiskinan, tumpuan Yong Azua terhadap pelajaran nyata tidak terjejas. Bahkan dia menamatkan pengajian dengan kepujian dan pernah enam kali menerima anugerah Sijil Dekan sejak di peringkat diploma lagi. Namun, rasa sedih kadang kala sukar juga untuk disembunyikan lebih-lebih apabila terpaksa hadir berseorangan pada hari konvokesyen diploma. "Anak mana yang tidak teringin ibu bapanya datang pada hari konvokesyen, tapi apakan daya waktu itu emak tak ada duit untuk datang. Memang rasa terkilan sangat, sebab itu kali ini saya akan pastikan mereka datang pada hari saya menerima ijazah nanti," katanya dengan nada bergetar. Ditanya reaksinya apabila kisah keluarganya tersiar di dada akhbar dan kaca televisyen, secara jujur Yong Azua mengaku dia berasa malu. "Saya malu bukan kerana keluarga saya miskin tapi saya malu dengan masyarakat yang mungkin menganggap kami cuba meraih simpati. "Kawan-kawan di kolej juga terkejut apabila menyaksikan kisah hidup keluarga saya di kaca TV. Mereka tidak menyangka keluarga saya begitu susah. "Memang selama ini pun saya tidak pernah bercerita tentang kesusahan saya kerana kawan-kawan pun ada kesusahan mereka sendiri. "Bagi saya biar orang tidak tahu kerana ia akan menjadikan saya lebih kuat semangat untuk 'berjuang'. Saya tidak mahu dilihat seperti menagih ihsan orang. Kalau boleh saya mahu berusaha sendiri," katanya. Yong Azua juga sedar dengan harapan tinggi yang digalas, malah dia turut mempunyai impian sendiri yang ingin dicapai. "Ada beberapa impian yang saya mahu penuhi apabila saya bekerja nanti. Semua impian itu bukan untuk saya tetapi untuk ibu bapa dan adik-adik saya. Insya-Allah kalau ada rezeki saya mahu beli rumah dan kereta untuk keluarga. Saya juga bercita-cita menghantar emak dan ayah ke Tanah Suci. "Memang kadang kala saya rasa bimbang juga segala harapan yang disandarkan pada saya tidak dapat dicapai, tapi apa pun saya akan cuba sedaya upaya. "Saya tak mahu keluarga saya terus hidup dalam kemiskinan. Sebagai insan kami juga berhak untuk hidup senang di bumi Tuhan ini sebagaimana orang lain," katanya menutup bicara.
2 comments:
terharu baca kisah ni
i print bagi kaklong ap baca sebagai motivasi dorang
nestum,
mmg sepatutnya macam tu.. jgn jadikan kesempitan hidup sebagai alasan utk tak berjaya.
Post a Comment